
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan seseorang individu yang mempunyai saman tertunggak akan hilang kelayakan menikmati subsidi petrol bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menterinya, Anthony Loke, menegaskan kedua-dua perkara berkenaan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik.
Beliau merujuk kepada sebahagian laporan media berhubung dakwaan kegagalan menjelaskan saman akan menyebabkan kehilangan kelayakan menikmati subsidi BUDI95.
“MOT ingin memberi penjelasan bahawa saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 adalah dua mekanisme yang berbeza serta beroperasi secara berasingan.
“Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan dasar semasa, Loke memaklumkan bahawa untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon perlu memenuhi dua syarat asas.
Beliau berkata, syarat berkenaan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, dan memiliki lesen memandu yang aktif.
“Lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen masih dalam tempoh sah atau tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun,” katanya.
Beliau sekali gus menekankan bahawa kementeriannya menasihati orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sumber:
Berita Harian