mcmc
Berita & Hebahan

BUDI95: Rakyat lega, penjimatan ketara dirasai berbanding sebelum ini

KOTA BHARU: Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diperkenalkan kerajaan bukan saja membantu meringankan beban kos bahan api, malah disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat yang turut mengakui penjimatan ketara sejak ia mula dilaksanakan.

Sebanyak 16 juta rakyat negara yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 seliter sebelum ini dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar Kota Bharu mendapati, proses pelaksanaan subsidi bersasar berjalan lancar dengan petugas stesen minyak bersedia membantu pengguna membuat semakan kelayakan menggunakan MyKad di pam.

Pada masa sama, orang ramai juga bersyukur dan berpuas hati dengan bantuan itu yang dapat meringankan kos perbelanjaan harian.

Pekerja swasta, Nik Ahmad Irfan Nik Hassamuddin, 29, berkata inisiatif subsidi diperkenalkan kerajaan banyak membantunya menjimatkan perbelanjaan bahan api berbanding sebelum ini.

“Kebiasaannya, saya belanja hampir RM400 sebulan untuk isi minyak, namun dengan adanya subsidi ini saya dapat jimat lebih banyak sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup.

“Proses penggunaan subsidi ini sangat mudah dan mesra pengguna, malah kali pertama saya menggunakannya petugas di stesen minyak turut membantu dan menunjukkan langkah yang betul dan ia tidak merumitkan langsung,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Panchor, di sini, hari ini.

Seorang lagi pekerja swasta, Tengku Alam Tengku Abdullah, 61, menyifatkan pelaksanaan subsidi minyak bersasar membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

“Inisiatif ini bukan saja membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, malah turut berperanan dalam mengekang ketirisan minyak yang sudah lama menjadi isu.

“Selain itu, inisiatif subsidi bersasar diperkenalkan kerajaan ini juga satu langkah yang tepat, menyeluruh dan wajar diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Nur Fashiihah Eliya Mohd Asri, 28, berkata dia ada menerima mesej pemberitahuan berkaitan inisiatif subsidi bersasar BUDI95 baru-baru ini.

“Hari ini, ketika saya datang untuk mengisi minyak, salah seorang petugas stesen bertanya sama ada saya menggunakan subsidi BUDI95 atau tidak. Pada mulanya, saya tidak mengendahkannya kerana menyangka prosesnya rumit.

“Namun, selepas diberikan penerangan oleh petugas pam minyak, saya terus ke kaunter untuk menyemak status kelayakan. Saya sangka proses pendaftaran ini susah, tetapi sebenarnya ia sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit saja untuk diselesaikan.

“Inisiatif ini banyak membantu saya menjimatkan perbelanjaan bahan api harian untuk berulang alik ke tempat kerja. Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif saya dapat berjimat dan ia benar-benar membantu rakyat seperti saya dalam mendepani kenaikan kos bahan api,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, hampir 20 peratus daripada keseluruhan anggota ATM dan PDRM telah melakukan transaksi BUDI95 pada hari pertama pelaksanaannya, dengan jumlah pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta direkodkan sehari selepas diperluas kepada penerima STR.

BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan aplikasi dompet digital pilihan.

Sumber:
Berita Harian